Ahad, 24 April 2011

Kisah sebab-sebab Allah S.W.T mengangkat darjat Hamba-Hamba-Nya.

Diriwayatkan dari Ka'ab bin Al-Akhbar, bahawa dia berkata: "Allah S.W.T telah menurunkan wahyu kepada Musa A.S dan telah berfirman yang bermaksud: "Wahai Musa, tahukah kamu mengapa Aku memilih kamu untuk berbicara secara terus dan tidak dengan perantaraan sesiapa." Berkata Nabi Musa A.S: "Engkau sahaja yang Maha Mengetahuinya." Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Aku telah melihat hati para hamba-Ku, dan Aku dapati tidak ada satu pun hati yang lebih tawadhu dari kamu, maka sebab itulah Aku ajak kamu berbicara terus tanpa ada sesiapa sebagai perantaraan."

Sesungguhnya ada enam makhluk yang tawadhu kepada Allah S.W.T, disebabkan tawadhu mereka itu maka Allah S.W.T telah menaikkan darjat mereka ke tingkat yang tinggi.

1. Sesungguhnya Allah S.W.T telah menurunkan wahyu kepada semua gunung. Dan Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya aku akan meletakkan perahu Nabi Nuh dan orang-orang yang beriman di atas sebuah gunung dari antara kamu sekalian (Gunung-gunung)." Setelah gunung-gunung mendengar firman Allah S.W.T, maka mereka pun menjadi bangga membesar dan memanjang, dalam semua gunung itu sebuah gunung bernama Al-Juudiy saja yang tawadhu, merendahkan diri dan berkata: "Dari mana saya memperolehi darjat kehormatan, sehingga Allah S.W.T meletakkan perahu Nabi Nuh A.S di atasku." Apabila gunung-gunung melihat perahu Nuh diletakkan di atas gunung yang kecil bernama Al-Juudiy maka mereka pun bertanya: "Ya Tuhan kami, mengapakah Kamu mengutamakan gunung yang paling kecil di antara kami semua, yakni gunung Al-Juudiy." Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya gunung Al-Juudiy itu telah merendah diri kepada-Ku, sedangkan kamu semua bertakabur, dan sudah semestinya bagiku bahawa siapa yang bertawadhu kepada-Ku, maka akan Aku angkat darjatnya, dan barangsiapa takabur akan aku rendahkan darjatnya." Kisah Kapal Nabi Nuh A.S ini telah berlabuh di bukit Al-Juudiy dekat Mausoul sampailah sekarang. Kisah tentang pendaratan kapal Nuh A.S dan tempatnya ada disebutkan oleh Allah S.W.T dalam Surah Hud, ayat 44.

2. Allah S.W.T telah mewahyukan kepada semua gunung keseluruhannya yang bermaksud: "Sesungguhnya akan berkata di atasmu salah seorang dari hamba-Ku." Maka gunung-gunung menjadi angkuh dan bangga (Takabbur) cuma sebuah gunung yang bernama Tarsina saja yang bertawadhu merendahkan diri sehingga berkata: "Siapakah aku ani, sehingga Allah S.W.T berkata di atas ku kepada salah seorang hambanya?" Disebabkan sifat rendah diri itulah maka Allah S.W.T memilih gunung Tarsina untuk Nabi Musa A.S berdiri dan berbicara dengan Allah S.W.T.

3. Allah S.W.T telah menurunkan wahyu-Nya kepada semua ikan, maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Aku akan masukkan Nabi Yunus ke dalam perut salah satu dari kamu." Lalu ikan-ikan menjadi bangga dan takabur. Dalam semua ikan cuma seekor ikan sahaja yang berkata: "Siapakah aku ini, kalau Allah S.W.T hendak menggunakan perutku sebagai tempat seorang Nabi-Nya." Oleh sebab tawadhunya maka Allah S.W.T mengangkat darjatnya dan memulihkannya.

4. Allah S.W.T telah menurunkan wahyu-Nya kepada semua binatang yang boleh terbang dalam dunia ini. Allah S.W.T berfirman: "Sesungguhnya Aku akan meletakkan suatu minuman sebagai ubat penyembuh bagi penyakit manusia." Maka kesemua burung dan binatang-binatang yang boleh terbang menjadi takabur dan bangga. Cuma lebah sahaja yang bertawadhu dan merendah diri dengan berkata: "Siapakah aku ini, sehingga Allah S.W.T hendak meletakkan minuman ubat penyembuh ke atas aku." Dan Allah S.W.T mengangkat darjatnya disebabkan tawadhu dan merendah diri, akhirnya Allah S.W.T meletakkan di mulutnya.

5. Allah S.W.T telah menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Ibrahim A.S lalu berfirman:  "Siapakah engkau wahai Ibrahim." Maka berkata Nabi Ibrahim A.S: "Aku adalah Al-Khalil (Yang dikasihi)." Allah S.W.T berfirman kepada Nabi Musa A.S yang bermaksud: "Wahai Musa. Siapakah kamu." Maka berkata Nabi Musa a.s: "Aku adalah Al-Kaliimu (Yang diajak berbicara)." Allah S.W.T berfirman kepada Nabi Isa A.S yang bermaksud: "Wahai Isa, siapakah  kamu?" Maka berkata Nabi Isa A.S: "Aku adalah Arruhu." Allah S.W.T berfirman kepada Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Wahai Muhammad. Siapakah kamu?" Maka berkata Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Aku adalah anak yatim" Lalu Allah S.W.T mengangkat darjat Rasulullah S.A.W dari semua para nabi.

6. Seorang mukmin yang bertawadhu kepada Allah S.W.T dengan sujud dan bertauhid, kemudian dimuliakan oleh Allah S.W.T dengan dilapangkan dadanya menerima Islam, maka dia mendapat cahaya terang dari Allah S.W.T.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan