Sabtu, 23 April 2011

Kisah dua Malaikat

Yunus bin Ubaid dari Alhassan berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Setiap anak Adam itu akan dijaga oleh dua Para Malaikat, dan Malaikat yang sebelah kanan itu lebih berkuasa dari yang sebelah kiri."

Kalau seseorang anak Adam itu membuat dosa maka Malaikat yang di sebelah kiri akan bertanya kepada Malaikat yang disebelah kanan: "Apakah yang harus aku catit?" Maka berkata Malaikat yang disebelah kanan: "Jangan kamu catit dosanya sehingga ia melakukan 5 dosa."

Kemudian bertanya Malaikat yang disebelah kiri lagi: "Kalau dia telah melakukan 5 dosa, apakah yang harus aku catitkan?" Berkata Malaikat yang disebelah kanan: "Biarkan sehingga dia membuat kebaikan. Sebab kami telah diberitahu bahawa satu hasanat kebaikan dapat sepuluh kali ganda. Oleh itu kita hapuskan 5 sebagai imbangan dari dosa yang 5 dan kami catatkan hanya 5 hasanat."

Apabila Syaitan mendengar yang demikian maka dia pun menjerit sambil berkata: "Kalau macam ini bilakah aku dapat menjerumuskan anak Adam."

Lihatlah bagaimana Allah S.W.T begitu sayang kepada kita sehingga memberi kita begitu banyak peluang untuk kita berfikir, misalnya apabila kita membuat satu kejahatan maka kita cuma akan dicatit satu dosa tetapi apabila kita membuat satu kebajikan maka kita akan dicatit 10 kebajikan.

Allah S.W.T memberi peluang kepada kita dengan memanjangkan usia kita supaya kita akan bertaubat dan kembali menyembah-Nya. Dan Allah S.W.T sentiasa menerima taubat kita.

Bagi mereka yang enggan menyembah kepada Allah S.W.T adalah ibarat kacang yang lupakan kulit. Bukan kita tidak tahu Allah S.W.T yang memberi rezeki kita, memanjangkan umur kita dan sebagainya. Pernah kah kita bersyukur kepada Allah S.W.T setiap satu nafas yang kita ambil? Kita juga berfikir sembahyang itu hanya perlu dibuat apabila kita sudah tua, dan begitu juga dengan rukun-rukun yang lain.

Apabila kita sudah berani meninggalkan Sembahyang maka secara automatik kita telah melawan Tuhan yang menciptakan kita, apakah patut kita berbuat demikian?

Kalau seekor anjing yang dibela oleh tuannya sekian lama, maka satu hari anjing itu telah menggigit tuannya, adakah anjing itu akan disimpan lagi oleh tuannya? Sudah tentu tidak akan sebaliknya dia akan dikatakan anjing gila dan akan ditembak hingga mati. Tetapi Allah S.W.T tidak sedemikian. Dia sayang kita 70 kali seorang ibu sayang anaknya. Oleh itu ingatlah saudara-saudaraku hidup kita di dunia ini hanya sementara dan kita akan kembali menghadap-Nya. Segeralah kerjakan apa yang dituntut oleh agama Islam, Insya Allah segala dosa kita akan diampuni oleh Allah S.W.T dan beristighfarlah banyak-banyak mudah-
mudahan kita mendapat kejayaan dunia dan Akhirat. Amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan