Rabu, 27 April 2011

Kisah Nabi Idris A.S

Nabi Idris A.S adalah seorang Rasul Allah yang tersebut namanya dalam Kitab Suci Al-Quran. Menurut Imam Bukhari, Nabi Idris A.S ini adalah datuk kepada Nabi Nuh A.S. Nabi Idris A.S juga adalah keturunan keenam dari Nabi Adam A.S putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Nabi Adam A.S dan Nabi Syith A.SNabi Idris A.S menurut sementara riwayat, baginda bermukim di Mesir di mana ia berdakwah untuk Agama Allah S.W.T mengajarkan Tauhid dan beribadat menyembah Allah S.W.T serta memberi beberapa pendoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri dari seksaan di Akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun. Nama Nabi Idris A.S yang sebenar ialah Ukhnuh, tetapi oleh kerana beliau rajin serta tekun belajar kitab-kitab Allah S.W.T, maka terkenallah beliau dengan nama Idris.

Nabi Idris A.S diutus oleh Allah S.W.T untuk mengingatkan umat keturunan Qabil yang telah bersikap derhaka. Nabi Idris A.S merupakan keturunan keenam Nabi Adam A.S. Nabi Idris A.S belajar agama sejak kecil dari Nabi Syith A.S, putera Nabi Adam A.S. 

Menurut riwayatnya, Nabi Idris A.S adalah seorang Nabi yang mula-mula pandai menulis dengan kalam. Beliau juga yang mula-mula membaca hingga Allah S.W.T menurunkan 30 buah syafiah yang berisi petunjuk-petunjuk dari Allah S.W.T untuk disampaikan kepada umatnya.

Selain dari itu ada lagi kelebihan Nabi Idirs A.S ini. Beliau juga adalah orang yang mula-mula pandai menggunting pakaian serta menjahitnya sedangkan sebelum itu manusia hanya pandai memakai pakaian yang diperbuat dari kulit binatang sahaja.

Nabi Idris A.S juga terkenal sebagai seorang Rasul yang kuat beribadat dan suka menolong orang-orang yang miskin dan susah. Pada masa lapang Nabi Idris A.S akan mengisikan masanya dengan menjahit atau meneun pakaian. Apabila tenunan kainnya sudah siap ia akan memberikannya kepada orang-orang miskin atau susah dengan percuma sahaja. Demikian indahnya akhlak Nabi Idris A.S. Beliau bukan sahaja sangat takwa terhadap Allah S.W.T tetapi juga sangat santun dan pemurah terhadap kaumnya yang susah.

Sifat takwa Nabi Idris A.S serta keluasan ilmunya itu akhirnya menjadi terkenal di sisi kaumnya. Semua orang ingin seklai berkenalan dengannya.

Sebagai seorang Rasul, Nabi Idris A.S tidak pernah lalai beribadat terhadap Allah S.W.T sekalipun dalam keadaan sibuk menjalankan tugas hidupnya sehari-hari. Beliau juga mempunyai kekuatan dan kebenarian yang luar biasa hinggakan mendapat gelaran "Asadul Al-Usud" yang ertinya "Singa dari segala singa." Dengan keberanian dan kegagahannya  itu, Nabi Idris A.S dapat memerangi orang-orang yang derhaka kepada Allah S.W.T.

Satu lagi hal keistimewaan Nabi Idris A.S ialah tentang perihal beliau dapat berkenalan dengan Para Malaikat. Menurut sesetengah ahli tafsir Al-Quran mengatakan bahawa ketika Nabi Idris A.S berpeluang berkenalan dengan Para Malaikat, beliau pun bermaksud untuk naik ke langit. Tujuannya ialah untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri akan alam ghaib. Keinginan Nabi Idris A.S itu dimakbulkan oleh Allah S.W.T sehingga naiklah Nabi Idris A.S ke langit yang keempat. 
Ketika Nabi Muhammad S.A.W melakukan Israk Mikraj, ia berjumpa dengan Nabi Idris A.S di langit keempat. Ketika itu Nabi Idris A.S memberi salam kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ada sebahagian ulama mengatakan beliau naik ke langit yang keenam.

Imam Bukhari pernah meriwayatkan satu kisah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A. tentang kisah Nabi Idris A.S ini. Katanya: "Tatkala Nabi Muhammad S.A.W dan Malaikat Jibrail A.S melalui suatu tempat pada malan Israk dan Mikraj baginda telah bertemu dengan Nabi Idris. Nabi Idris telah menyambutkan Rasulullah S.A.W dengan ucapan: "Selamat datang Nabi yang soleh dan saudara yang soleh." Maka Nabi Muhammad S.A.W pun lalu bertanya: "Siapakah dia?" Malaikat Jibrail A.S menjawab: "Dialah Idris."

Bahkan dalam Surah Al-Anbiya, Ayat 85-86, Allah S.W.T berfirman yang bermasud: "Ingatlah akan kisah Ismail, Idris dan Zulkifli; masing-masingnya masuk golongan orang-orang yang sabar. Kami masukkan mereka itu ke dalam rahmat Kami; sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang yang soleh."

Nabi Idris Dengan Malaikat Izrail (Malaikat Pencabut Nyawa)


Sebagai seorang Nabi dan Rasul, Nabi Idris A.S terkenal kerana sifatnya yang amat takwa serta ilmunya yang luas. Sebab itu ramailah orang ingin berkenalan dengannya, bahkan Malaikat sendiri ingin sekali berkenalan dengan beliau.

Hatta maka tersebutlah suatu kisah yang menarik tetang Malaikat Izrail A.S yang ingin berkenalan dengan Nabi Idris A.S. Sebelum Malaikat itu pergi menemui Nabi Allah itu, di terlebih memohon izin dari Allah S.W.T untuk bertemu ke rumah Nabi Idirs A.S.

Setelah mendapat izin dari Allah S.W.T, maka Malaikat Izrail A.S itupun menyamarlah dirinya sebagai manusia biasa lalu pergilah ia bertemu di rumah Nabi Idris A.S. Pada mulanya Nabi Idris A.S tidak tahu sama sekali bahawa tamunya itu seorang Malaikat. Tetapi lama kelamaan beliau pun berasa agak curiga terhadap tamunya setelah lama bergaul dengannya. Harus dengan ilmunya yang luas itu Nabi Idris A.S dapat merasakan sesuatu keanihan pada diri tamunya itu.

Maka pada suatu ketika baik Nabi Idris A.S pun bertanyalah kepada tamunya itu. "Siapakah sebenarnya engkau, hai kawanku?" Maka lantas Malaikat Izrail A.S menjawab: "Aku sebenarnya Malaikat pencabut nyawa," begitu terus-terang sekali jawabnya. Medengar jawapan Malaikat itu, Nabi Idris A.S agak terkejut juga walaupun sebagai seorang Rasul beliau tentunya tidak takut pada mati kalau sudah demikian kehendak Allah. "Apakah maksudmu datang ke sini untuk mencabut nyawaku?" Bertanya Nabi Idris A.S seterusnya. "Bukan hai Nabi Allah! Aku datang cuma ingin berkenalan sahaja, kami amat kagum terhadap iman dan ketakwaanmu!" Sahut Malaikat Izrail A.S. "Oh, kebetulan sekali kawan!" Sambung Nabi Idris A.S. Jawabpannya itu agak menimbulkan kehairanan pada Malaikat Izrail A.S. Nabi Idris A.S lalu menyambung. "Sebenarnya aku ingin sekali mati, agar dapat merasakan bagaimana sakitnya orang yang sedang dicabut nyawanya. Dengan demikian, aku akan lebih tekun bagi mengerjakan ibadat setelah merasakan sakitnya orang yang sedang dicabut nyawanya. Setelah aku rasakan itu semua, sudilah kiranya engkau berdoa kepada Allah supaya aku diizinkan hidup kembali."

Apabila Malaikat Izrail A.S medengar percakapan Nabi Idris A.S itu maka dia pun berkata: "Maaf sekali ya Nabi Allah! Sesungguhnya aku tidak akan mencabut nyawa seseorang malainkan mendapat izin Allah terlebih dahulu," jelas Malaikat Izrail A.S.

Baru sahaja Malaikat itu mengucapkan itu, tiba-tiba datang wahyu kepadanya supaya mencabut nyawa Nabi Idris A.S. Kemudian dalam kesedihannya dan Malaikat Izrail A.S pun menangis, Malaikat Izrail A.S itupun bermohon kepada Allah S.W.T supaya Nabi Idris A.S dihidupkan kembali. Allah S.W.T mengabulkan doanya lalu Nabi Idris A.S pun dihidupkan semula.

Setelah hidup kembali, Nabi Idris A.S pun berkata: "Wahai sahabatku! Sesungguhnya aku sangat berterima-kasih kepadamu atas doamu hingga aku dapat hidup semua!" Maka Malaikat Izrail A.S mejawab: "Hai saudaraku, bagaimana rasanya sakaratulmaut itu?" Maka Nabi Idris A.S berkata: "Sesungguhnya rasa sakaratulmaut itu saya umpamakan binatang yang hidup itu dilapah kulitnya (Dibuang kulitnya semasa hidup-hidup) dan begitulah rasanya sakaratulmaut bahkan lebih seribu kali sakit."

"Wahai Nabi Allah!" Sambung Malaikat Izrail: "Sebernarnya ketika aku mencabut nyawamu sudah berhati-hati dan perlahan sekali. Belum pernah aku cabut nyawa orang sehalus itu." Demikian dia menjelaskan.

Tatkala mereka berbual-bual itu, maka Nabi Idris A.S pun berkata dengan suara yang lembut: "Wahai sahabatku, Izrail, sudikah engkau iaitu saya ingin melihat Neraka Jahannam sehingga saya boleh beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setelah melihat belenggu, rantai-rantai dan kala jengking yang menyengat orang-orang yang ada di Neraka Jahanam." Pinta Nabi Idris A.S, "Ya sahabatku, bagaimana aku dapat menghantarmu melihat Neraka Jahannam kalau tidak diizinkan oleh Allah S.W.T sebagaimana engkau minta dimatikan dulu?" Jawab Malaikat Izrail A.S, menjelaskan.

Setelah Nabi Idris A.S mengucapkan maksudnya itu maka datang wahyu Allah S.W.T kepada Malaikat Izrael A.S memerintahkannya supaya membawa Nabi Idris A.S pergi melihat Neraka Jahnnam. Setelah kedua-dua sampai ke Neraka, wah betapa terkejut dan takut-takala melihat keadaan dalam Neraka itu yang serba-serbinya mengerikan. Nabi 
Idris A.S melihat segala macam-macam seksaan yang diciptakan Allah S.W.T untuk musuh-musuh-Nya yang berupa belenggu, ratai-rantai daripada Neraka dan kala jengking serta ular dengan api-api yang menyala dan kayu zakum dan air yang sangat panas untuk diminum oleh ahli Neraka tersebut. Setelah puas melihat keadaan Neraka itu Nabi Idris A.S pun berkata kepada Malaikat Izrail A.S.

"Wahai sahabatku,
 saya ada keinginan lagi dengamu iaitu saya ingin melihat Syurga sehingga saya boleh tambah meningkatkan amal ibadah dan juga untuk lihat keindahan dan kenikmatan di sana. Bukankah Syurga tempat dijanjikan Allah S.W.T bagi orang-orang yang beriman?" Maka jawab Malaikat Izrail A.S: "Wahai Nabi Allah, bukankah aku telah katakan kepadamu bahawa aku tidak mendapat izin dari Allah S.W.T."

Tetapi tiba-tiba datang wahyu Allah S.W.T kepada Malaikat Izrail A.S itu memerintahkannya supaya membawa Nabi Idris A.S pergi ke Syurga pula. Sungguh cinta sekali Allah S.W.T kepada Nabi Idris A.S. Itulah satu kelebihan dan kurnia yang diberikan Allah S.W.T kepada Nabi Idris A.S. Sahaja yang tidak dirasai oleh Nabi-Nabi yang lain.

Akhirnya, Malaikat Izrail A.S pun membawa Nabi Idris A.S pergi melihat Syurga pula. Setelah sampai ke pintu Syurga, maka Malaikat Izrail pun menyuruh Nabi Idris A.S supaya masuk ke dalam Syurga untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri akan keindahan dan kenikmatan yang terlindung dari pemandangan sekalian manusia. 
Nabi Idris A.S melihat di dalamnya nampak bermacam-macam nikmat dan istana besar lagi indah dan beberapa anugerah yang berharga, juga tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan yang beraneka warna dan rasanya berbeza-beza. "Hai saudaraku, saya telah merasakan sakitnya sakaratulmaut, saya telah melihat Neraka Jahanam yang didalamnya bermacam-macam rupa seksaan dan azab neraka maka mohonlah engkau kepada Allah, agar Allah mengizinkan saya untuk masuk syurga dan minum airnya agar hilang rasa sakitnya sakaratulmaut di tenggkorakku ini dan juga terhindar daripada seksaan Neraka Jahanam."  Maka Malaikat Izrail minta izin kepada Allah lalu mengizinkannya, kemudian masuklah meraka berdua ke alam Syurga lalu keluar. Kemudian Nabi Idris A.S masuk lagi ke dalam Syurga dan meletakkan seliparnya di bawah pokok kayu di dalam Syurga. Maka Nabi Idris A.S berkata kepada Malaikat Izrail A.S "Hai sahabatku, Izrail selipar saya tertinggal di dalam Syurga di bawah pokok kayu, maka kembalikanlah saya ke dalam Syurga," maka Nabi Idris A.S masuk ke Syurga dan tidak mahu keluar lagi dari Syurga. Lalu sekali Malaikat Izrail A.S menunggu di luar tetapi yang ditunggunya itu tidak juga keluar.

Maka berteriaklah Malaikat Izrail A.S memanggil Nabi Idris A.S agar keluar dari Syurga. "Ya Nabi Allah! Ya Idris!" Malaikat Izrail A.S memanggil. "Ayuh keluarlah, aku sudah lama menunggumu!" Sambungnya. Malaikat Izrail A.S tentunya tertanya-tanya sendirian kenapa sebabnya maka Nabi Idris A.S lama sekali berada di dalam Syurga dan masih belum keluar-keluar lagi.

Dari dalam Syurga Nabi Idris A.S menyahut: "Wahai sahabatku Izrail! Aku ingin ucapkan berbanyak-banyak terima-kasih kepadamu kerana menghantarkan aku ke Syurga ini. Tetapi sekarang aku tidak mahu keluar lagi. Sebab bukankah aku telah merasakan mati?"

Malaikat Izrail A.S tentu seklai terkejut apabila mendengarkan kata-kata Nabi Idris A.S itu, lalu diapun berkata: "Wahai Nabi Allah! Mana boleh tuan tinggal di dalam buat selama-lamanya sedangkan tuan belum mendapat izin dari Allah?" Maka menurut ceritanya Allah S.W.T memerintahkan Malaikat Izrail A.S supaya meninggalkan Nabi Idris A.S di Syurga itu. Maka demikianlah satu mukjizat, satu kurnia Allah S.W.T berikan kepada Nabi Idris A.S kerana keimanannya dan ketakwaannya yang bulat terhadap Allah S.W.T. Dialah seorang Nabi dan Rasul yang diizinkan Allah S.W.T tinggal di Syurga buat selama-lamanya.

Terdapat diantara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah:-

1. Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan.


2. Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.


3. Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu.


4. Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntup sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.


5. Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah.


6. Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya.


7. Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.


8 . Tanpa membagi-bagikan nikmat yang diperolehnya dia tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.


Dalam hubungan dengan firman Allah S.W.T bahawa Nabi Idris A.S diangkat kemartabat tinggi Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris A.S wafat tatkala berada di langit keempat dibawa oleh seorang Malaikat Wallahu a'alam bissawab

-TAMAT-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan