Sabtu, 23 April 2011

Kisah neraka jahannam

Dikisahkan dalam sebuah hadith bahawa sesungguhnya neraka jahannam itu adalah hitam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ianya menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu pula terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri api, pada setiap belahannya pula terdapat lembah dari api.

Dikisahkan dalam hadith tersebut bahawa pada setiap lembah tersebut terdapat 70,000 gudang dari api dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api. Pada setiap kamar itu terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala jengking, dan dikisahkan dalam hadith tersebut bahawa setiap kala jengking itu mempunyai 70,000 dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas tersebut ianya mempunyai 70,000 qullah bisa.

Dalam hadith yang sama menerangkan bahawa pada Hari Kiamat nanti akan dibuka penutup neraka jahannam, maka sebaik sahaja pintu neraka jahannam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung disebelah kanan Jin dan manusia. Dan sebuah kumpulan asap lagi mengepung mereka disebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka disebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung diatas kepala dan dibelakang mereka. Dan mereka (Jin dan manusia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergentarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil: "Ya Tuhan kami, selamatkanlah." 

Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Akan didatangkan pada Hari Kiamat itu neraka jahannam, dan neraka jahannam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000 Malaikat, dan berkenaan dengan Malaikat penjaga Neraka itu ada diterangkan oleh Allah S.W.T dalam Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: "Sedang penjaganya Malaikat-Malaikat yang kasar lagi keras."

Setiap Malaikat apa yang ada diantara pundaknya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dengan sekali pukulan sahaja ia akan membenamkan 70,000 kedalam neraka jahannam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan