Pada suatu hari, sedang  Hasan Al-Basri duduk di depan rumahnya, lalulah sekumpulan manusia yang  sedang mengusung mayat. Di belakang mayat itu ada seorang perempuan yang  sedang terurai rambutnya. Dia sedang menangis tentang kematian ayahnya.  Hasan Al-Basri pun turut sama mengiringi mayat tersebut.
Budak perempuan itu berkata: “Aduhai ayah, sepanjang umurku, hari inilah yang paling menyedihkan dalam hidupku.” Berkata Hasan Al-Basri kepada budak perempuan itu.
"Engkau tidak akan lagi menghadapi ayahmu sebagaimana engkau menghadapinya hari ini." Setelah beliau selesai menyembahyangkan mayat itu, beliau terus pulang. Keesokkan harinya, setelah terbit matahari, sedang beliau duduk di muka pintu, sekali lagi beliau terserempak dengan budak perempuan itu. Dia sedang berjalan ke kawasan kubur sambil menangis.
“Baik aku ikut budak perempuan ini. Mungkin ia akan memperkatakan sesuatu yang member syafaat kepadaku.” Kata Hasan Al-Basri dalam hatinya.
Beliau terus mengikutinya dari belakang. Beliau menyembunyikan diri di sebalik pohon yang berduri, melihatkan budak perempuan itu sampai ke kubur ayahnya. Sesampai budak itu ke kubur, terus dirangkul dan didakap kubur ayahnya. Mukanya diletakkan pada tanah sambil berkata:
“Wahai ayah, bagaimana engkau semalaman di dalam gelapnya kubur, tidak ada yang menerangi dan apa-apa yang boleh menghiburkan.”
“Wahai ayah, akulah yang menerangni lampu engkau kelmarin, siapakah yang menerangi lampu engkau malam tadi?”
“Wahai ayah, akulah yang memberikan alas tidur engkau kelmarin, maka siapakah yang memberikan alas tidur engkau malam tadi?”
“Wahai ayah, akulah yang menyelimuti kedua tangan dan kakimu malam kelmarin, maka siapakah yang menyelimutimu malam tadi?”
“Wahai ayah, akulah yang menyediakan minuman engkau kelmarin. Siapakah yang memberikan engkau minuman malam tadi?”
“Wahai ayah, akulah yang membalikkan engkau dari kanan ke kiri, siapakah yang membalikkan engkau malam tadi?”
“Wahai ayah, akulah yang menutup tubuhmu ketika engkau telanjang, siapakah yang menutupimu malam tadi?”
“Wahai ayah, akulah yang membayangkan wajahmu malam kelmarin. Siapakah yang membayangi wajahmu malam tadi?”
“Wahai ayah, ketika engkau ingin makan, akulah yang menyediakan, malam tadi siapa yang memberimu makan?”
“Wahai ayah, akulah yang memasakkan makanan engkau kelmarin, siapakah yang memasakkan ayah malam tadi?”
Setelah  Hasan Al-Basri mendengar keluhan dari budak perempuan itu, diapun  keluarlah dari tempat persembunyiannya. Sambil mendekati budak perempuan  itu dia berkata: “Wahai perempuan, janganlah engkau berkata demikian  tapi katakanlah:
“Kelmarin aku menghadapkan engkau ke kiblat, sekarang apakah engkau masih menghadap ke kiblat atau sedah berpaling?”
“Wahai ayah, aku mengkafani engkau dengan kafan yang baik, maka apakah kafan itu masih utuh atau sudah terkoyak?”
“Wahai  ayah, aku meletakkan engkau ke dalam kubur, ketika itu dalam masih kuat  jasadnya, apakah sekarang masih kuat atau sudah dimakan ulat?”
“Wahai  ayah, para ulama mengatakan: Para hamba itu akan ditanya urusan iman,  sebahagian hamba ada yang dapat menjawab dan ada yang tidak. Maka adakah  engkau dapat menjawab atau tidak?”
“Wahai ayah, para ulama  mengatakan: Kubur itu ada yang diperluaskan buat ahli kubur, ada yang  disempitan. Maka apakah kubur ayah diperluaskan atau disempitkan?”
“Wahai  ayah, para ulama mengatakan: Sebahagian kubur itu kafannya digantikan  dengan kafan dari Syurga dan ada yang diganti dari neraka. Maka adakah  kafanmu diganti dari Syurga atau neraka?”
“Wahai ayah, para ulama  mengatakan: Kubur itu merupakan salah satu taman dari taman-taman-taman Syurga, atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka. Adakah kuburmu  itu merupakan seperti taman syurga atau lubang neraka?”
“Wahai  ayah, para ulama juga berkata: Semua orang yang berada di kubur pasti  akan menyesal, bagi orang yang bertakwa, mereka menyesal kerana kurang  mengerjakan amal kebajikan. Bagi ahli maksiat pula, mereka menyesal sama  sekali kerana perbuatan jahat mereka. Maka apakah engkau menyesal  kerana melakukan perkara buruk atau kurang melakukan amal kebaikan?”
“Wahai  ayah, semalam aku memanggil-manggil engkau dan engkau terus jawab.  Sudah lama sekali aku memanggil di atas kuburmu, tapi bagaimana aku  tidak mendengar suaramu.”
“Wahai ayah, engkau sudah tidak dapat  berjumpa denganku hingga datangnya Hari Kiamat. Ya Allah, janganlah  engkau menghalangiku dari berjumpa dengan ayahku pada Hari Kiamat.”
Budak  perempuan itu lalu berkata kepada Hasan Al-Basri: “Wahai Tuan Hasan,  aku sangat berterima-kasih kepadamu kerana telah sudi menasihati  rintihanku terhadap ayah. Terima kasih juga kerana engkau memberi  nasihat dan mengingatkan dari tidur, dari orang yang lalai.”  Budak perempuan itu kemudian pulang bersama Hasan Al-Basri sambil menangis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan